Selamat menyambut Ma’al Hijrah kepada semua ahli-ahli cawangan UMNO di seluruh negara dan seluruh umat Islam Malaysia.
Kita sedia maklum bahawa salah satu teras kekuatan UMNO sejak penubuhannya adalah fokusnya kepada pembangunan syiar dan amali Islam yang dipikul oleh Biro Agama UMNO di peringkat Pusat, Bahagian, Cawangan termasuk di cabang-cabang Wanita, Pemuda dan yang terbaru Puteri.
Peranan Biro Agama begitu penting dalam UMNO menggerakkan kegiatan keagamaan bukan sahaja di peringkat Kerajaan dan Jabatan Kerajaan tetapi yang paling penting diperingkat akar umbi.
Kegiatan keagamaan pimpinan UMNO seperti kumpulan BERZANZI, BACAAN YASSIN DI MALAM JUMAAT, KELAS FARDU AIN & TAHFIZ (untuk kanal-kanak, remaja & dewasa), HAL-EHWAL NIKAH KAHWAIN, HAL- EHWAL KEMATIAN, MUSABAQAH dan lain-lain lagi merupakan aktiviti-aktiviti yang ditunggu oleh para penduduk.
Biasanya BIRO AGAMA ini diketuai oleh Ulamak atau Ustaz yang disegani oleh penduduk kerana ilmunya dan juga keikhlasan membuat kerja-kerja kemasyarakatan yang digerakkannya. Merekalah yang akan mengumpulkan ustaz-ustaz muda dan ahli masyarakat untuk melaksana program. Mereka juga yang membina hubungan dengan Sekolah Agama, Pondok dan Jabatan yang berkaitan agama. Mereka juga yang menasihati muda mudi untuk menjalani penghidupan berlandaskan agama – Syariat Islamiah.
Suatu masa dulu Tok Guru Pondok, Guru Besar Sekolah, Ketua-Ketua Jabatan dan masyarakat keseluruhan termasuk pemimpin yang bukan Islam dalam BN ataupun parti-parti pembangkang mengenali dan segan dengan Pengerusi Biro Agama UMNO.
Jangan kita lupa begitu ramai Tok-Tok Guru Pondok yang dulu bersama dengan UMNO. Sekarang pun masih ramai yang bersama UMNO tetapi UMNO gagal menghampiri dan menggerakkan mereka.
Pemimpin-pemimpin PAS segan dengan Pengerusi Biro Agama kerana ilmu dan kehebatan para Pengerusi Biro Agama UMNO adalah sama atau lebih tinggi dari para pemimpin PAS.
Namun pada hari ini, contohnya di Selangor kekuatan Biro Agama ini telah lemah dan rata-rata aktiviti keagamaan masyarakat telah diambil oleh parti lawan. Ahli-ahli UMNO terpaksa hadir dalam majlis-majlis keagamaan masyarakat setempat yang kini digerakkan oleh parti lawan.
Pada PRU-12 kita nampak jelas bahawa orang-orang Melayu yang mengundi PAS dan pakatan sumbang PAS-PKR-DAP itu kerana menganggap PAS lebih Islamik. Anak-anak mereka yang bersekolah di sekolah-sekolah agama dan universiti-universiti yang dibena oleh kerajaaan UMNO-BN juga kata PAS lebih Islamik. Ramai ustaz-ustaz sekolah rendah dan menengah Kebangsaan mengaku mengundi PAS, PKR dan DAP. Ini kerana mereka dengar PAS kata pakatan PAS-PKR-DAP yang sumbang itu terima Islam dan pembentukan negara Islam.
Boleh diagak enam dari sepuluh pelajar dan ustaz dari pusat-pusat pengajian tinggi adalah berpihak dan bersimpati dengan parti lawan. Mereka aktif dalam menggerak atau mengikuti aktiviti parti lawan.
Malangnya, empat orang yang UMNO atau bersimpati dengan UMNO pula hanya berdiam diri kerana tidak ada usaha dari pihak UMNO untuk menggerakkan mereka itu ataupun mereka berasa tertekan kerana diangap tidak menyokong Islam oleh pihak lawan.
Oleh yang demikian UMNO mesti bertindak secara strategik mengembalikan semangat dan kekuatan Biro Agama UMNO. UMNO memerlukan ahli-ahli agama, ulamak dan usataz-ustaz yang berani kehadapan berdepan dengan PAS. UMNO memerlukan ahli-ahli agama, ulamak dan ustaz yang menggerakkan aktiviti-aktiviti keagamaan.
UMNO perlu menyebarkan dan membetulkan persepsi bahawa UMNO memang memperjuangkan dan melaksanakan Islam dinegara ini.
Sehubungan dengan itu saya mencadangkan supaya kepimpinan UMNO dengan serta merta berusaha mengembalikan kekuatan Biro Agama UMNO disemua peringkat supaya mereka boleh menggerakkan aktiviti-aktiviti keagamaan, sumber maklumat dan juga menjadi benteng hadapan dalam menghadapi serangan pihak lawan.
InsyaAllah dengan usaha, komitmen dan perjuangan semua pihak kita akan dapat mengembalikan teras kekuatan UMNO ini untuk kita bersatu, bersetia, berkhidmat bagi mendapat kemenangan didunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment